Sunday, March 11, 2012

Strategi pertahanan tetap dipelihara: Zahid



2012/03/05

MOHD ALI  dan    Ahmad Zahid pada  majlis penyerahan Kapal Selam SMD Ouessant daripada Kementerian Pertahanan Malaysia kepada Kerajaan negeri Melaka di Kompleks Pelancongan Klebang, Klebang Melaka, semalam.
MOHD ALI dan Ahmad Zahid pada majlis penyerahan Kapal Selam SMD Ouessant daripada Kementerian Pertahanan Malaysia kepada Kerajaan negeri Melaka di Kompleks Pelancongan Klebang, Klebang Melaka, semalam.
Kerajaan tak dedah untuk penuhi tuntutan pembangkang

MELAKA TENGAH: Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mendedahkan semua strategi dan aset pertahanan negara hanya bagi memenuhi kehendak pihak pembangkang berikutan bimbang maklumat berkenaan disalahgunakan.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangkang perlu berhenti memutarbelitkan fakta berhubung kemampuan aset pertahanan negara kerana kementerian sudah beberapa kali membuka ruang kepada pihak berkenaan membuktikan perkara terbabit.
“Kemampuan aset pertahanan negara sudah dibuktikan secara telus, jangan ada lagi pemutaran fakta, selain mencari perkara baru lain. Jangan jadikan ini bahan ceramah yang kemudian mengelirukan rakyat, sebaliknya dapatkan penjelasan kami dulu.

“Saya fikir tidak ada satu negara di dunia pun yang mendedahkan apa saja aset atau strategi pertahanan. Mereka ini hendak tahu semua...saya takut mereka jadi ejen dan kita tidak mahu bertindak kurang pandai dalam soal ini,” katanya selepas majlis penyerahan rasmi kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 daripada Kementerian Pertahanan kepada kerajaan negeri di Muzium Kapal Selam, Kompleks Pelancongan Klebang di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Duta Perancis ke Malaysia, Dorance Martine.

Kapal selam buatan Perancis itu adalah kapal selam latihan bermula November 2005 hingga Julai 2009. Ia dibawa pulang dari pangkalannya di Brest, Perancis pada 7 Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November 2011. 
Zahid berkata, ahli politik khususnya pembangkang diingatkan tidak mempolitikkan pembelian aset pertahanan yang dibuat kerajaan sehingga boleh menjejaskan sistem kawalan keselamatan negara.

“Mereka perlu tahu membezakan antara soal pertahanan negara dan politik, seterusnya tidak memutarbelitkan fakta. Kedua-dua perkara ini mesti ada garis pemisah,” katanya.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah golongan apolitikal yang bererti mereka tidak terbabit dalam politik tetapi apabila mereka terguris hati kerana isu berhubung pertahanan negara, ini menyebabkan pembangkang seperti tidak mempunyai kredibiliti” katanya.